Sunday, September 24, 2006

Ahlan wa sahlan, ya Ramadhan al-Mubarak!

Ya ayyuha-lladzina amanu Wahai orang-orang yang beriman
Kutiba alaikum-ussiyamu dituliskan (diwajibkan) atas kamu berpuasa
Kama kutiba ‘ala-lladzina min qoblikum Sebagaimana dituliskan (diwajibkan) ke atas orang-orang sebelum kamu
La’allakum tattaqun. Mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertakwa.
al-Baqarah: 183

Ramadhan menjengah lagi; Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan untuk melaluinya. Bagaimana puasa saya tahun ini agaknya, bolehkah lebih baik berbanding tahun lepas? Artikel dalam majalah Anis keluaran September 2006 bertajuk Takkan Masih Puasa Orang Awam? cukup relevan. Saya ingin kongsikan petikan (abridged) artikel tersebut, semoga bermanfaat:

[Kebesaran dan kelebihan Ramadhan sudah sering diperkatakan. Kita sendiri sudah mengecap nikmat berada dalam bulan penuh keberkatan ini belasan atau puluhan kali. Tetapi adakah tahap puasa kita meningkat dari satu Ramadhan ke satu Ramadhan? Atau masih di takuk lama dari dulu sampai sekarang iaitu puasa orang awam. Adakah kita berpuas hati sekadar menjadi orang awam? Sekadar dapat pahala puasa biasa-biasa dan kualiti rohani kita pun biasa-biasa. Mari kita lihat antara ciri-ciri yang membezakan orang awam dan orang soleh.

  1. Orang soleh mengutamakan amalan hati di samping besungguh-sungguh dengan amalan anggota lahir; bukan sahaja mulut dan perut berpuasa, tetapi hati juga turut ‘berpuasa’- tidak buruk sangka, iri hati, memandang rendah dan banyak lagi. Orang awam, mulut dan perut berpuasa, tetapi hatinya masih jahat dengan orang – mudah marah-marah, tidak mahu memaafkan orang, sombong dan lain-lain.
  2. Orang soleh, ibadahnya dibuat bersungguh-sungguh supaya ‘menjadi’, iaitu beri kesan kepada hati dan peribadi, serta menambah dekat dengan Tuhan. Orang awam puasa asal buat dan asal jadi.
  3. Orang soleh, bangun tidur sahaja sudah ingat Tuhan dan segera tunaikan tanggungjawab pada Tuhan. Orang awam, bangun tidur hanya ingat makan, kerja, duit, dan urusan dunia.
  4. Orang soleh, puasanya menjadi satu mata rantai dari rantaian ibadah-ibadah yang pelbagai sebagai ‘pakej’ lengkap pengabdian kepada Allah. Orang awam, puasanya terasing dan tidak dirangkaikan dengan ibadah-ibadah lain.
  5. Orang soleh, apabila lapar dan dahaga akan ingat pada orang susah yang ketiadaan makanan dan sempit hidupnya. Orang awam, apabila lapar dan dahaga hanya ingat makanan yang hendak dimakan waktu berbuka.
  6. Orang soleh, puasanya menundukkan nafsu dan menguatkan jiwa kepada bertakwa, bila berbuka dengan juadah sekadarnya. Orang awam, puasanya hanya sekadar mengempang nafsu, dan berbuka dengan segala juadah yang dapat memuaskan nafsu dan melimpahkan keinginan nafsu yang telah seharian diempang.
  7. Orang soleh, waktu berbuka hatinya antara takut dan berharap agar puasanya diterima. Orang awam, rasa overconfident puasanya diterima Allah. Begitu jugalah kedudukan hati orang awam dan orang soleh setiap kali selesai melakukan ibadah lain.
  8. Orang soleh, melihat dosa seperti gunung yang hendak menghempap kepalanya, maka berhati-hati dan takut terlibat dengan dosa. Orang awam, melihat dosa bagaikan lalat yang hinggap di hidung, maka bermudah-mudah dan tidak takut untuk buat dosa.
  9. Orang soleh sentiasa terdorong untuk memperbanyak taubat kerana rasa berdosa apabila terlali dari mengingati Allah. Orang awam tidak rasa berdosa dan tidak rasa perlu bertaubat apabila lalai dari mengingati Allah.
  10. Orang soleh menjadikan malam sebagai waktu untuk bersunyi-sunyi dengan Tuhan. Orang awam menjadikan malam sebagai waktu rehat dan tidur semata-mata.
  11. Orang soleh sentiasa ingat mati dan merindukan kematian untuk bertemu dengan Tuhan. Orang awam sentiasa lupa pada kematian dan tidak suka mengingat tentang mati dan pertemuan dengan Tuhan.


Semoga puasa kita kali ini puasa khusus, iaitu puasa yang menghampirkan kita kepada takwa, bukan lagi puasa awam atau puasa ‘gitu-gitu’ seperti di takuk lama. Semoga Allah memudahkan jalan untuk kita berusaha menjadi orang soleh, orang bertakwa, dan termasuk dalam golongan Ashabul Yamin.]

Selamat menempuhi madrasah Ramadhan!

Exit: Baca huraian hadith kelebihan Ramadhan oleh JAKIM, periksa waktu berbuka/imsak di tempat anda, tonton video American Ramadan, atau baca tips kesihatan di bulan Ramadhan.

0 comments:

  © Blogger template 'Minimalist G' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP