Ini kisah benar, tapi saya coretkan gaya cerpen. Jangan termuntah atau tergelak, ya :)
Saya tekan punat kunci kereta berkali-kali tetapi tiada reaksi. Saya buka pintu kereta dengan kunci secara manual dan cuba menghidupkan enjin kereta. Langsung tiada bunyi! Rasa panik datang menerpa. Saya telefon suami. Abang jauh, nak tolong macam mana? Tidak jauh dari situ, saya nampak susuk seseorang sedang merokok di tempat khas perokok di tempat letak kereta. Encik, boleh tolong saya? Saya beranikan diri bertanya.
Dia cuba hidupkan enjin, juga tidak berjaya. Oh, awak tak tutup lampu kereta pagi tadi, bateri habis terus! Dia telefon beberapa rakan untuk bertanya kereta siapa yang diparkir di tingkat yang sama. Dua orang rakannya datang untuk membantu. Kabel disambung antara bateri keretanya untuk jumpstart bateri kereta saya. Enjin menderum sedikit, tetapi masih tidak hidup, walaupun setelah beberapa percubaan. Maaf, memang bateri awak dah flat terus, dijumpstart pun tidak boleh hidup. Awak perlukan bateri baru. Terima kasih kerana membantu, saya akan bawa pomen ke sini pagi esok.
Rasa sesal dan resah merundung diri. Bagaimana boleh aku lupa menutup lampu kereta pagi tadi? Adakah sistem penggera sudah rosak, atau aku tidak mendengarnya kerana rusuh mahu cepat kerana tiba lambat? Ah, aku memang kurang cekap mengendalikan kereta barangkali. Tahun ini saja keretaku sudah berganti satu tayar akibat melanggar tebing pembahagi jalan, sudah ditukar ekzos baru juga kerana aku melanggar tebing belakang, dan sudah diketuk bonet depannya kerana aku terlanggar kereta pacuan empat roda di hadapan. Alhamdulillah, kerosakan bukanlah besar dan tiada kecederaan yang menimpa diriku, tetapi… Ah! Bukankah aku baru mengingatkan diriku tentang melapangkan dada? Tenanglah hati. Tidak mengapa.
Saya lekas turun ke bawah untuk menumpang bas ulang-alik ke KL Sentral, perkhidmatan percuma yang disediakan oleh majikan. Sesampainya di KL Sentral, saya beli tiket komuter dan bergegas turun ke platform. Alhamdulillah, tren komuter baru tiba. Tetapi… ramainya orang! Bolehkah saya masuk? Apabila tren komuter berhenti dan pintu terbuka, orang berpusu-pusu keluar, dan bertembung pula dengan orang dari luar yang masing-masing risau tidak dapat masuk. Tren sudah sendat, dan saya masih di luar. Dah tak muatlah! Seorang perempuan bersuara kuat kepada budak lelaki di luar yang cuba merempuh masuk dengan kasar.
Pengumuman bergema. Tiada salahnya jika tuan-tuan dan puan-puan di tengah gerabak memberi laluan kepada orang lain untuk masuk lagi kerana pintu tidak dapat ditutup. Saya masih menanti di luar. Saya risau terpaksa menunggu tren berikutnya, yang mungkin saja akan tiba selewat tiga puluh atau empat puluh minit lagi, tetapi saya tidak mahu merempuh. Masuklah, di sini muat, perempuan yang marah tadi berkata kepada saya, dan mengisyaratkan sedikit ruang di sebelahnya. Terima kasih, saya senyum lega.
Tren komuter bergerak. Ruang dalam memang sendat dan padat, bahu berlaga bahu, punggung berlaga punggung. Mujurlah saya dikelilingi kaum hawa, kecuali di belakang dan saya dilindung pula oleh beg. Tren beroleng sekali-sekala, tetapi manusia di dalam tren tidak jatuh, kerana memang semua telah ditampan, kiri kanan depan dan belakang dengan manusia lain. Saya lihat peluh mengalir di dahi dan leher beberapa penumpang. Panas. Sempit. Awal tadi saya sangkakan saya akan dapat menguliti buku yang dibawa, tapi sangkaan saya meleset. Saya tidak dapat menyeluk ke dalam beg untuk mengambil buku, dan memang tiada ruang untuk saya pegang buku dan baca.
Stesen demi stesen disinggahi, penumpang lebih ramai yang turun berbanding masuk, dan kesempitan sedikit berkurangan. Saya mengambil kamera dalam beg dan mengambil dua keping gambar. Beberapa penumpang kehairanan. Mahu hantar sama Ong Tee Keat, saya bergurau. Mereka tersenyum. Macam inilah setiap hari, dik, kakak di depan ramah bercerita. Lagi teruk kalau tren berhenti tiba-tiba di tengah jalan. Satu hari, sampai satu jam kami menunggu dalam keadaan panas dan sempit begini, sebelum tren bergerak kembali. Sudah waktu orang balik kerja, tambahlah gerabak lebih. Saya mengangguk sahaja, bersimpati. Saya teringatkan kesesakan jalan yang teruk pagi tadi. Patutlah ramai orang lebih rela menghadapi kesesakan jalan dalam kereta sendiri. Pengangkutan awam masih pilihan terakhir.
Di satu stesen, pintu terbuka dan saya dengar azan Maghrib berkumandang dengan jelas. Saya ambil botol air dalan beg dan meneguk sehingga habis separuh. Saya masih berdiri, tetapi tren sudah lapang sedikit. Saya ambil buku dan mula membaca. Saya tiba di stesen komuter pilihan dan menunggu suami datang menjemput. Saya mencongak-congak bagaimana hendak menguruskan kereta saya esok nanti, tetapi saya tidak gundah. Alhamdulillah.