Saya dan bahasa ibunda
Di rumah, keluarga saya berkomunikasi dalam bahasa ibunda. Saya pertama kali diperkenalkan kepada bahasa Inggeris (tidak termasuk televisyen) dan bahasa Arab sewaktu di tadika barangkali. Sewaktu bersekolah rendah, saya membaca kedua-dua buku bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Saya akrab dengan buku-buku terbitan DBP waktu itu (seperti yang pernah saya ceritakan di sini), dan saya juga ada membaca siri Sweet Valley Twins (yang saya pinjam dari rakan saya). Bahasa Inggeris saya biasa-biasa sahaja, sehinggalah saya pergi ke sekolah menengah yang memberi lebih penekanan kepada bahasa Inggeris (bukan lebih berbanding bahasa Malaysia, tetapi berbanding sekolah lain). Suasana di sekolah itu begitu positif, para pelajar tidak ‘segan’ untuk mempraktikkan berbicara dalam bahasa Inggeris sesama sendiri, dan pelbagai aktiviti luar kelas berbahasa Inggeris dianjurkan, contohnya pertandingan drama bahasa Inggeris. Saya mulai jarang membaca novel berbahasa Malaysia (waktu itu pasaran sedang dilambaki novel-novel cinta remaja tulisan A** A** dan yang sewaktu dengannya yang saya cukup tidak gemar) dan lebih banyak membaca novel berbahasa Inggeris. Saya diperkenalkan kepada penulis-penulis seperti Jeffrey Archer, John Grisham, Sidney Sheldon, Michael Crichton, dan Judith McNaught. Saya berterima kasih kepada sekolah menengah saya, kerana apabila saya meneruskan pengajian di peringkat A-Levels di dalam bahasa Inggeris sepenuhnya (masih di tanahair), saya mampu mengikutinya.
Apabila saya ke luar negara pula, saya mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan dialek tempatan (local accent), tetapi secara amnya saya tidaklah mengalami kesukaran bahasa. Saya meminjam buku-buku cerita dari perpustakaan tempatan lebih banyak berbanding meminjam buku-buku kejuruteraan. Saya diperkenalkan kepada Agatha Christie (ya, agak lewat). Waktu itu, siri Harry Potter sedang meletup-letup. Pulang ke Malaysia, saya bekerja di syarikat multinasional yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Bangsa Melayu pula minoriti, maka sesama pekerja pun kebiasaannya kami berbual dalam bahasa Inggeris. Kefasihan saya berbahasa Malaysia jatuh merudum. Sesekali saya perlu mengarang atau bercakap (formal) dalam bahasa ibunda, saya tergagau-gagau.
Satu hari, pekerja pejabat pos mini di tempat saya bekerja menghantar satu bungkusan ke kubikel saya. Saya automatik menyebut, “Thank you.” Tetapi dia membalas kembali, “Terima kasih.” Dan dia bukan berbangsa Melayu. Insiden kecil ini yang membuatkan saya tersedar, otak dan mulut saya lebih cepat menggunakan bahasa Inggeris dan bukan bahasa ibunda sendiri. Saya mula mengorak azam untuk memperbanyakkan penggunaan dan meningkatkan kembali penguasaan bahasa ibunda saya. Pada masa yang sama, saya juga diperkenalkan dengan penerbit PTS dan pengasasnya Puan Ainon Mohd. Saya mula terpengaruh dengan perjuangan beliau memartabatkan bahasa Malaysia. Saya mula mencari-cari buku-buku dalam bahasa Malaysia untuk diuliti (namun saya akui, saya masih membaca lebih banyak buku bahasa Inggeris berbanding bahasa Malaysia). Saya mencari peluang untuk menulis dalam bahasa ibunda, termasuklah dalam blog ini (tulisan saya bunyinya terlalu formal barangkali, kerana saya memang mahu menulis dalam bahasa Malaysia tinggi secara sedar). Saya mencari peluang untuk berbicara dalam bahasa kebangsaan di pejabat, dan saya kenalpasti rakan-rakan sepejabat yang selesa berbahasa Malaysia. Saya mula memupuk kembali perasaan bangga dan mempunyai (ownership) terhadap bahasa ibunda saya. Saya ingat satu insiden waktu seorang rakan di pejabat berkata “We don’t need to know bahasa; my kids go to international school and overseas uni, and when they come back, they speak English at the office.” Saya berasa marah tetapi cuba mengawal perasaan saya dan membalas dengan nada yang saya harap tidak terlalu defensif, “If we want to stay in Malaysia and be Malaysians, we must know bahasa Malaysia!”
Ini bukanlah esei yang mendebatkan bahasa mana yang lebih penting. Saya tidak menafikan mahir berbahasa Inggeris memang banyak kelebihannya. Tetapi bahasa ibunda harus kita sayang. Siapa lagi yang hendak memartabatkan bahasa Malaysia, kalau bukan kita? Tidak mengapa jika kita perlu menyadur atau meminjam perkataan baru daripada bahasa asing; itu proses biasa memperkaya perbendaharaan kata sesuatu bahasa. Tidak mengapa jika sesuatu perkataan kedengaran janggal, lama kelamaan ia akan rasa biasa jika selalu digunakan. Kita perlu perbanyakkan sumber ilmu dalam bahasa kita. Kita perlu guna bahasa kita. Kita perlu mahir menggunakan bahasa kita. Kita perlu galakkan lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan bahasa kebangsaan kita.
Selamat menyambut bulan bahasa kebangsaan!
10 comments:
i am in the same boat as you.. bila dah keluar universiti, baru sibuk cari novel BM balik
memang masa kita sekolah banyak novel2 jiwang tak pun cerita tahyul/seram, tapi memang 'tempting' buku2 BM sekarang, syabas ya penerbit/penulis etc sampai aku terpaksa buat list lah buku apa nak beli balik nanti
Setuju!! Saya mula nampak kesan & kepentingan cintakan bahasa ibunda bila mula memikirkan bahasa apa yang saya mahu anak saya kuasai.... Maksudnya dalam parenting, bahasa sangatlah penting dalam menentukan identiti & jatidiri seorang anak. Banyak masalah kecelaruan identiti, salah satu penyebabnya ialah bahasa. Saya sangat gembira bila tengok anak-anak saya mula belajar bahasa melayu bila balik malaysia, dan keep on bertambah vocabulary dalam bahasa kita. Lebih gembira bila mereka mula pandai menggunakan peribahasa & simpulan bahasa.... :)
aida,
pulang ke pangkal jalan :)
bas,
maybe dulu bukannya takde buku bm yang berkualiti, cuma harder to look for kot. yang dilambakkan depan mata, like you said banyak cintan cintun jiwang or seram tahyul.. nnt kau dah balik sini you're welcomed to borrow my books :)
ummuahmads,
betul betul.. agree with what you said about identiti dan jatidiri. dulu 'bahasa jiwa bangsa' sekadar slogan, sekarang barulah faham maknanya.
saya dan suami pun cakap dengan anak-anak dalam bahasa melayu. kadang-kadang risau juga bila tengok anak kawan yang lain dah boleh cakap english, tapi takpe insyaAllah they'll be ok. kitorg dulu ok je hehe..
MARILAH BELI BUKU GALERI ILMU (semuanya bahasa Melayu)...
Jangan lupa beli novel Islami LENTERA CINTA ALBAICIN ... juga ANDAI BAVARIA TAKDIRKU ... bukan cintan cintun, tp pengorbanan!
Hee2 sorry mynie ... buat iklan percuma plak kat sini !!!
yeay!! tq
sokong mynie.. :)i oun tengah tercari2 novel BM yg bagus. Any
recommendations?
shafida
suraiya,
sila sila...
patutnya saya pun tolong promote juga hehe :)
kak shafida,
any specific genre? setakat buuk-buku yang i pernah baca bolehlah i kongsikan. nnt i buat post khas to answer your question ni.. tapi tak janji bila hehe :)
saya setuju dengan entri ini. Dulu, semasa kecil, saya dibesarkan dengan buku DBP. kemudian, saya jatuh cinta dengan novel inggeris dan lama-kelamaan meninggalkan pembacaan novel melayu. buku terbitan creative enterprise menjadi bahan bacaan ketika sekolah menengah. ketika itu, creative enterprise nama yang agak tersohor, malahan bukunya jarang mempunyai kesalahan bahasa. tetapi semakin meningkat umur, saya membaca novel BI lebih banyak dari BM. sekarang ini, baru terkial-kial membaca semula. Terus terang saya nyatakan , tidak banyak novel cintan cintun yang menggebu di dalam pasaran di dalam BM yang kena selera saya. Ada novel salah satu penerbit yang kerap meletup, tetapi sungguh, saya tidak membacanya. Bukan tidak mencuba, pernah...dan saya pasti, ianya bukan selera saya. Mujur ada PTS, Galeri Ilmu, tambahan novel berkualiti banyak di pasaran.
Tahun ini, saya sudah banyak membaca buku BM dari BI :D
ummu auni afif,
betul tu.. creative enterprise pun salah satu buku yg saya banyak baca masa sekolah dulu.. pinjam dari seorang ibu saudara yang rajin beli :)
Post a Comment