Wednesday, September 05, 2007

Kisah rezeki

Satu. Apabila masuk kereta hendak beredar dari tempat letak kereta, baru saya tercari-cari tiket parking. Eh – kenapa tiada? Rasanya memang saya letak di tempat biasa tadi! Puas dibelek-belek beg tangan, segenap ceruk kereta dan sekitarnya yang dirasakan munasabah tapi tidak ketemu. Saya pandu kereta ke pondok bayaran.
“Tiket parking akak hilang lah, adik,” saya mulakan.
“30 ringgit.”
“Tapi akak memang baru parking kurang sejam ni.”
“Maaf kak, saya tak boleh nak buat apa-apa.”
“Kalau macam tu takpe lah. Dah takde rezeki akak.” Saya menghulur duit.
“Kejap. Oklah, saya tolong lah kali ni.”
Saya belum menghela nafas lega, dia nampak teragak-agak.
“Sorry lah akak, tak boleh. Hari ni ada audit.” Duit bertukar tangan.

Nilai 30 ringgit bukannya kecil bagi saya (cukup untuk belanja makan tengah hari untuk seminggu!), terutama jika ‘hilang’ atas sebab kecuaian, tapi saya berlapang dada. Buat apalah hendaklah disusahkan hati menyesali kecuaian yang telah terjadi? Cuma harus beringat di lain kali – perlu lebih berhati-hati! Dan saya mengambil peringatan hari tu, betapa rezeki kita yang Allah dah tentukan belum kita ketahui, sedetik mungkin begini, sedetik mungkin begitu. Dan rezeki itu semua dariNya, walau jalannya melalui orang lain. Dan rezeki orang lain mungkin dari kita – semoga Allah detikkan hati kita untuk lebih banyak bersedekah, terutama di bulan Ramadhan yang dinanti dan bakal menjelma tak lama lagi.

Dua. Waktu membeli nasi bungkus makan tengah hari, saya turut membeli dua ketul ayam untuk makan malam ‘segera’. Tetapi, selepas membayar, entah bagaimana saya terlupa pula untuk mengambil sekali dua ketul ayam itu. Setelah tiba kembali di pejabat, barulah teringat. Mujurlah gerai itu tidak terlalu jauh, sekadar lima minit berjalan kaki, saya pun menapak kembali. Sayangnya saya terlupa sekali lagi petang itu. Plastik berisi ayam yang diletak dalam laci, hilang dari pandangan dan hilang dari ingatan – tidak sampai ia ke rumah. Dalam perjalanan, saya menggeleng kepala. Dua kali terlupa – memang bukan rezeki. Tapi keesokan paginya, lauk ayam dalam laci saya cuba hidu – masih berbau sedap. Saya bertanya Kak A: logikkah semalaman ditinggal pada suhu bilik masih elok? Jawabnya, memang masak cara ni lambat basi, banyak rempahnya - letaklah dalam peti, malam boleh makan lagi. Rupa-rupanya masih ada rezeki. Sekali lagi, kita tidak tahu, dan perlu berusaha hingga ke akhirnya.

Tiga. Cerita lama sebenarnya, waktu saya masih memerah susu di pejabat buat anak tersayang. Bila di pejabat, memang lengkap kemudahan bilik memerah susu dengan peti sejuknya. Tapi hari itu ada meeting sehari suntuk di luar pejabat. Saya bawa segala kelengkapan tapi masih ragu-ragu. Alhamdulillah, surau di hotel cukup selesa untuk saya memerah susu. Dan untuk menyimpan susu pula, saya minta ais daripada pihak hotel. Dalam hati, saya ada merasa sedikit ‘bangga’ (pleased with myself) sebab berjaya mengatur. Tapi, bila pulang dan buka beg khas menyimpan susu perahan, hampir semuanya telah tumpah dan bercampur dengan ais kerana saya tidak menutup botol dengan sempurna! Memang sedih. Memang diperingatkan. Usaha mungkin usaha saya, tapi kalau Allah tidak izinkan, tidak berjaya jua. Astaghfirullah – saya terlupa bersyukur padanya. Usaha haruslah disertai dengan tawakal dan syukur. Susu mungkin dari badan saya, tapi rezeki anak saya tetap hak Allah semata.

Empat. Terlanjur bercerita tentang rezeki, teringat kisah penjual tempe yang pernah diceritakan dalam blog ArRaiyan. Memang bukan cerita saya, tapi sebab berkait rapat dengan tema hari ini, izinkan saya mengulang cerita itu. Semoga Allah murahkan rezeki kita semua…


Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, cuma separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi-Nya tiada yang mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa, Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin.

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan bungkusan bakal tempenya dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagi-Mu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe. Amin.

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan itu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu! Sementara itu hari pun semakin meninggi, sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walau bagaimana pun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Allah dan meneruskan pemergiannya ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. Ya Allah, aku percaya Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin.

Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yang berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Allah tidak adil. Allah tidak kasihan padanya kerana inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, bahawa Allah pasti akan menolongnya. Walau pun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.

Maaf ya, saya ingin bertanya. Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi. Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya, Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin.

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun berasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita itu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?

Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin hendak makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi mesti membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Allah...

Pengajaran di sebalik kisah ini:

Pertama
Kita sering memaksa kehendak kita kepada Allah sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Allah lebih Mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua
Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hamba-Nya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Allah akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancangan-Nya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga
Tiada yang mustahil bagi Allah.

Keempat
Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga solat lima waktu sehari semalam, menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan.

Petikan asal


SELINGAN: Saya gembira membaca berita semalam mengenai keputusan kerajaan untuk membenarkan kakitangan mengambil cuti tanpa gaji sehingga 90 hari selepas 60 hari cuti bersalin dengan gaji penuh, dan jumlah keseluruhan cuti tanpa gaji sehingga lima tahun. Semoga lebih banyak polisi yang family-friendly akan terus diperkenalkan di Malaysia, sama ada di sector awam mahu pun swasta.

3 comments:

aida

since this will be like out of topic;

yes, i love a book club! jom tukar² buku CSI-type. sewa kat CM pun boleh.. :D

salam perkenalan
-http://limaunipis.blogspot.com-

(my twin did mentioned about you, btw :P)

kakLuna

akak pun bila bab2 rezeki ni, sentiasa teringat kisah 'tempe' tu..baca dari blog najah jugak.. :)

kdg2 kita ni mmg terlupa nak bersyukur dan berniat lillahi taala pdhl bukan nya susah nak menyebutnya,kan.

SMM

aida, unfortunately i believe i no longer qualify as an 'ulat buku' :( byk lg buku belum berbaca kat rumah tu.. one book per month pun tak tentu. bila terpaksa gi kerja naik public tpt, baru lah dpt mengqadha'.. i kagum dgn both you n aini, anak dua tiga, kerja fulltime, study lagi (in aini's case) tp masih mantap membaca! korang berdua kena share more of time management tips lah.. i'm pretty bad at that... btw, will let you know bila terjumpa buku sesuai for you, kena korek2 gak hehe...

kak luna, thanks for dropping by my blog. betul - byk benda kita selalu terlupa, moga kita dpt ingat-mengingatkan sesama sendiri.. insyaAllah :)

  © Blogger template 'Minimalist G' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP