Tuesday, February 22, 2011

Permainan zaman kanak-kanak

Eh, selepas tiga post yang agak ‘berat’, tiba-tiba saya hendak bercerita pasal permainan zaman kanak-kanak pula? Jangan main-main, secara peribadi saya rasa bermain itu penting untuk perkembangan fizikal dan minda, di samping dapat juga mengutip kemahiran dan mengisi masa lapang dengan berfaedah. Dan yang paling penting, untuk berseronok!

Permainan yang dimaksudkan bukan permainan terancang atau ‘proper’ seperti bola jaring atau badminton atau ‘board games’, tetapi lebih kepada permainan yang biasanya tidak menggunakan sebarang peralatan (atau jika ada pun, yang boleh disediakan sendiri tanpa belanja yang besar) dan peraturannya dicipta sendiri. Saya pernah terdengar dalam sebuah bual bicara dalam radio, kemahiran ‘mencipta’ permainan sendiri menggunakan benda sedia ada di sekeliling (tanpa alat atau barang permainan khusus) adalah satu kemahiran penting bagi kanak-kanak dan dapat mengasah kreativiti.

Ini antara permainan yang saya main dengan kawan-kawan sewaktu sekolah rendah, dalam dua puluh tahun dulu (oh, menyebut istilah ‘dua puluh tahun dulu’ buatkan saya rasa sungguh tua!). Rupa-rupanya banyak juga masa yang dihabiskan bermain meskipun cuma menggunakan waktu sebelum waktu sekolah (atau aktiviti ko-kurikulum) bermula, waktu rehat, dan selepas kelas terakhir sementara menanti dijemput ayah atau ibu.

- Galah panjang. Ini semua orang tahu rasanya. Biasanya guna gelanggang badminton dsb.
- Main getah. Oh, cukup popular dulu. Kalau malas kumpul getah, boleh beli sahaja. Disebabkan mahu main getah, pergi sekolah mesti pakai seluar panjang dalam kain.
- Main longkang. Bunyinya cukup pelik, bukan? Dan saya tidak rasa permainan ini popular. Longkang cetek yang kering (dan bersih), dan kaki diselang-seli masuk dan keluar longkang mengikut ritma.
- Main tiang. Ala-ala ‘musical chair’ sedikit. Pilih bilangan tiang kurang satu berbanding jumlah pemain. Siapa paling lambat dan tidak dapat peluk tiang terkeluar daripada permainan.
- Main bertepuk tangan (sep sep sep, tum tum tum). Banyak versi, contohnya ‘See, see, my granny.’
- Batu seremban. Batunya boleh jadi batu betul (batu kerikil bersaiz ibu jari), atau siapa yang rajin bolehlah jahit kain dan isi dengan pasir. Saya kurang mahir permainan ini.
- Jentik tutup botol. Permainan ini lebih popular di kalangan budak lelaki.
- Pepsi-Cola. Setelah melompat setapak ke belakang, pemain bergilir cuba ‘memijak’ kaki pemain berikutnya, yang cuba mengelak. Jika terkena, yang dipijak kakinya itu terkeluar daripada permainan.
- Origami dan buat ‘friendship band’ daripada benang cross-stitch atau benang kait. Lebih berbentuk kraftangan dan ‘indoor activity’.

Di kampung pula, selain daripada galah panjang, ada beberapa lagi permainan lain yang kami main bersama sepupu-sepapat.

- Teng-teng. Nama Inggerisnya ‘hopscotch’. Lakar petak-petak atas tanah dan guna serpihan tembikar sebagai ‘buah’.
- Konda-kondi. Kuis batang kayu dan lari. Versi lain, jatuhkan piramid selipar dan lari. Satu kumpulan mengejar dan ‘jaga’ selipar. Satu lagi kumpulan (yang jatuhkan) cuba untuk bina semula. Atau, sekadar main kejar-mengejar.
- Congkak. Lubang digali dalam tanah, dan buahnya guna biji getah.
- Kami juga sering keluar rumah dan ‘explore’ persekitaran, pergi ke sawah padi dan sungai, mengutip entah apa-apa buah atau daun atau bunga yang menarik, tengok pelbagai jenis binatang. Sekarang, saya sendiri pun tidak pasti sama ada saya ‘berani’ biarkan anak-anak saya berkeliaran sendiri (tanpa pengawasan orang dewasa).

Saya tertanya-tanya, adakah kanak-kanak zaman sekarang juga ada versi permainan-permainan (tanpa alat permainan) seperti ini?

6 comments:

Niza K.

kalo kat bayan lepas, penang, banyak lagi selain dari ni ;) dulu n sekarang. hee. cthnya dulu niza n kawan2 kerap main guli, panjat pokok ceri, masuk hutan kutip 'hasil hutan', kejar kupu2 putih, isi dalam bekas, kemudian lepas beramai2 dgn kwn2 yg lain n byk lg :).

SURAIYA PAUZI

Oooh saya pernah bercadang menulis tentang ini, cuma belum berkesempatan. Hakikatnya permainan kita dulu-dulu lebih dekat & mesra alam ... 'tom tom bak' 'cak klepek klepuk klepak ...' 'pukul berapa datuk harimau' 'jan jan jalan'

Banyak woi nak disenaraikan satu persatu

bas

apa pasal nama game tu pepsi cola agaknya? takde kaitan pun kan

main rounders-amik kayu mana2 dgn bola tenis, ala- ala main baseball

lagi main datuk harimau dan ibu ayam (pukul berapa datuk harimau? hehe)

Nida

K.Nida suka main susun selipar tu @ konda-kondi, bola pon buat sendiri. Letak satu batu kecil dan balut dgn kertas byk2, pastu ikat dgn getah byk2. Sakit tul bila kena baling dgn bola tu tp it's fun!

Budak skrg @ anak2 K.Nida suka main computer game, PSP ..K.Nida rasa cam x fun langsung. Sekali sekala main gak ngan anak K.Nida yg 'pukul berapa Datuk Harimau', panggil game apa tu yer?

SMM

niza,
tula.. tempat lain mesti lain permainan yang popular.. seronok, kan? anak2/adik2 boleh lagi tak main benda2 yg kita main dulu..

kak suraiya,
wah... tak pernah dgr tu semua (except datuk harimau je yg tau), ceritalah mcm mana nak main.. rupa2nya 'tom tom bak' yang jadi nama program astro tu diambil drpd nama sejenis permainan rupanya.

bas,
betul2, rounders pun ada main, but i didn't list sbb sgt similar dgn baseball hehe..

kak nida,
wah glamer rupanya datuk harimau ni, 3 orang sebut hehe :) betul, saya setuju, saya pun rasa cam boring je main ps2/computer games apa semua tu..

aida

Mynie, wa missnya zaman kecik2 tanpa teknologi

  © Blogger template 'Minimalist G' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP