It's not meant to be
Pengalaman
ini ingin saya rakamkan, meskipun sudah terlewat banyak minggu, bagi tujuan
berkongsi dengan rakan-rakan dan juga sebagai rekod untuk diri sendiri. Kebanyakan rakan-rakan sudah tahu kesudahan
cerita saya, jadi saya akan garap dari belakang ke depan (reverse chronological
order) sengaja bereksperimen.
Surat rayuan kepada Tabung Haji dan panggilan
telefon kepada TH Travel tidak membuahkan hasil. Saat kami mula pasrah dan akur
bahawa mungkin belum rezeki kami menunaikan haji tahun ini, rakan sekerja saya
J memberikan nombor Ustaz M bagi dihubungi. Katanya, masih ada tempat tahun
ini. J telah pergi bersama kumpulan ini tahun lepas dan amat berpuas hati
dengan pengalamannya. Saya pun menghubungi Ustaz M. “Insya-Allah, masih ada
tempat. Nasib baik puan hubungi saya segera. Dalam masa beberapa hari ini, 1
Ramadan, pendaftaran di Saudi akan ditutup.” Alhamdulillah! Saya lekas meminta
dia menghantar maklumat lanjut dan cara pembayaran supaya saya dan suami dapat
mengambil tindakan seterusnya. Dalam hati, ada rasa berbunga-bunga. Ya Allah,
jemputlah kami menjadi tetamu-Mu tahun ini!
Sinopsisnya
ringkas sahaja. Saya dan suami merancang hendak menunaikan haji pada tahun ini,
namun Allah mentakdirkan tahun ini giliran kami belum tiba - Dia belum
menjemput kami. Beginilah manifestasi kehendak Allah:
30 Oktober
2012
Hari kedua saya
mula masuk ke pejabat setelah dua minggu mengambil cuti. Kembali ke rutin
biasa. Sesekali rasa sedih bertamu, namun lekas dicantas. Tabahlah wahai hati,
serahkanlah dirimu sepenuhnya kepada Allah.
Seminggu
sudah pun berlalu, barangkali satu tempoh bertenang yang mencukupi. Sejak
minggu lepas lagi, kiriman e-mel dari teman-teman satu kumpulan saya hargai.
Masing-masing berkongsikan buah fikiran dan refleksi mereka, amat saya hargai.
Seorang teman lebih menjiwai maksud menjadi seorang Muslim – submission to
Allah. Seorang lagi lebih menghayati konsep pengorbanan bersempena hari raya
Aidiladha. Ada yang mengajak kami bermuhasabah, apakah ada hijab yang
menghalang kami daripada menunaikan haji tahun ini. Ada yang mengakui
pengalaman beberapa hari itu telah mengubah diri mereka. Meningkatkan
komunikasi interpersonal dengan Allah. And me, I learn again about humility.
Beberapa
hari sebelum tarikh asal kami sepatutnya bertolak, saya ada membuat satu
senarai perkara-perkara yang ingin saya lakukan dan beberapa target sebagai
persediaan untuk mengoptimumkan masa yang singkat di sana. Saya ghairah menantikan
tempoh tiga minggu yang saya jangka dapat difokuskan semata-mata kepada amalan
ibadah bagi meningkatkan prestasi rohani, tanpa perlu memikirkan soal
anak-anak, rumah, kerja, dan lain-lain. Kini, senarai itu masih di tangan.
Tiada sebab bagi saya menanti setahun lagi untuk menyemaknya. Saya sedar kini,
masa untuk memulakannya adalah sekarang! Ia mungkin mengambil masa yang lebih
lama, namun memang satu mujahadah berterusan bagi kita. Sama seperti nasihat
Prof Muhd Kamil kepada jemaah haji yang baru pulang supaya istiqamah dengan
amalan-amalan yang dilakukan di tanah suci, kita yang belum pergi juga harus bermula
dari sekarang. Insya-Allah.
Beberapa
hari lalu saya ada terdengar sepotong kisah Rasulullah diceritakan oleh seorang
ustaz jemputan (maaf, terlupa namanya) dalam Radio Ikim. Baginda dan Aisyah
sering berlapar hingga bertahan-tahan berhari-hari hanya dengan sebiji buah
tamar. Apabila Rasulullah berdoa agar diberi sedikit makanan, baginda memohon
supaya makan sehari, berlapar sehari (bergilir-gilir) supaya baginda boleh
bersyukur sehari dan mengadu/merayu kepada Allah hari berikutnya. Ustaz Hussain
juga ada mengingatkan tentang istimewanya menjadi seorang Muslim, kerana kita
bersyukur apabila beroleh nikmat dan bersabar apabila diuji, dan kedua-duanya
akan mendapat ganjaran daripada Allah insya-Allah. Dan kini, adalah masa untuk saya
mengadu dan merayu.
Kami redha,
insya-Allah. Ada hikmahnya Allah menangguhkan pemergian kami. Barangkali Hasief
belum puas menyusu. Barangkali kami belum benar-benar bersedia, dan Dia
memberikan kami masa tambahan. Dan ada dua perkara lain yang telah berlaku
baru-baru ini yang barangkali memerlukan kami di sini. Jika hikmahnya tidak
terlihat pun, saya menaruh sepenuh keyakinan akan perancangan Allah bagi saya. Kami
bertemu dan berkenalan dengan sahabat-sahabat baru yang disenangi, malahan
silaturrahim dengan seorang saudara dekat yang sebelum ini sedikit renggang
juga bertaut kembali, Alhamdulillah.
Kami akan
mencuba lagi pada tahun 1434 Hijrah ini, insya-Allah. Semoga Allah
mempermudahkan urusan kami dan menjemput kami menjadi tetamunya tahun hadapan.
Amin.
23 Oktober –
7 Zulhijjah 7 petang
Ustaz
memanggil kami semua berkumpul. Saya mula berasa kurang enak, berat hati saya
mengatakan beliau akan menyampaikan berita duka. Dan saya tidak salah – Ustaz
Hussain memaklumkan kepada kami rundingan tidak berhasil. Dia meminta kami
bersabar dengan ketentuan ini. Dalam hati, saya akur dan redha. Namun, air mata
mengalir dan terus mengalir. Begitulah ekspresi tulus rasa duka dan kecewa. Apalah lagi daya kami jika sudah bukan
tersurat belum giliran kami untuk menjadi tetamu-Nya tahun ini. Ustaz mengajarkan
kepada kami: QaddarAllahu wa
masha a fa’al (قَدَّرَاللهُ
وَ مَا شَاءَ فَعَل)
“Allah did that what He had ordained to do”.
Saya menelefon kakak saya memohon pertolongan dia menjemput
kami dari KLIA. Perkara pertama yang akan kami lakukan setibanya di rumah –
menjemput anak-anak dari rumah pengasuh. Rindu menggamit setelah 50 jam tidak
bertemu. Rasa letih menjamah diri - letih fizikal, letih minda dan emosi.
Namun, minda masih perlu memikirkan – jadi kini, apa berikutnya?
23 Oktober –
7 Zulhijjah 4 petang
Segalanya
masih tidak pasti. Ustaz Hussain sudah meminta kesemua kami berkumpul di KLIA.
Mungkin itu satu petanda baik. Saya dan suami berpusing-pusing sekitar balai
berlepas - memerhati suasana, mencari cerita. Satu kumpulan berpakaian ihram
bersana keluarga dan sanak saudara mereka mengerumuni seorang yang berdiri di
atas kerusi, barangkali wakil ejen. Dia meminta semua jemaah bersabar dan
berkata mereka telah cuba yang terbaik tetapi mereka sudah tidak dapat berbuat
apa-apa lagi. Soalan-soalan berbaur marah menerjah. Di sebelah sana, sekumpulan
lagi mendengar taklimat wakil ejen mereka, juga bernada serupa.
Saya lihat
beberapa orang wartawan menemuramah beberapa orang, bertanyakan cerita. Seorang
calon jemaah menggeletik seperti diserang sawan, barangkali akibat terkejut
dengan berita yang diterima, rakus jurugambar mengetik kamera namun dihalang
oleh ahli keluarga. Wartawan televisyen dan akhbar menghampiri kami dan
bertanya kepada kami pula, namun kami minta mereka rujuk terus kepada Tabung
Haji sebagai pihak yang berautoriti untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.
Kami
ditegur seorang lelaki yang tersenyum ceria, mahu bertukar cerita. Katanya, dia
sudah beberapa hari berkampung di KLIA, mencari penerbangan yang boleh
membawanya ke Makkah. Dia menepuk-nepuk poketnya seluarnya yang kembung.
“Berkepuk-kepuk duit saya dah sediakan. Tadi Tabung Haji kata masih ada dua
tempat, saya bersedia hendak bayar, tapi sudah ada dua Datuk ambil,” ceritanya.
“Saya betul-betul nak pergi ini.” Kongsinya, dia ada menimbangkan hendak naik
bas ke Hadyai dan terbang ke Jeddah dari sana, tetapi mungkin tidak sempat. Sewaktu
rancak dia bercerita, seorang wanita merapatinya dan bertanya, “Bagaimana, awak
mahu saya aturkan dengan rakan saya di Jordan?” Dia beredar seketika untuk berbincang
dengan wanita tersebut. Beberapa ketika dia kembali. Saya bertanyakan option
terbaru itu. Katanya, dia boleh terbang ke Jordan dan ambil bas dari Jordan ke
Makkah, tapi perjalanan bas itu sahaja mengambil masa 24 jam! Bukan sahaja ada
risiko tidak sempat sampai sebelum waktu wukuf, malah juga mungkin dihalang
untuk memasuki sempadan dari Jordan ke Saudi. Dia menggeleng-gelengkan kepala. “Terlalu
berisiko.”
Saya
bertemu satu kumpulan yang diarah pulang ke Kelana Jaya. Mereka sepatutnya
menaiki penerbangan Saudi Airlines jam 3 petang tadi, namun tidak dibenarkan
kerana rupa-rupanya penerbangan itu khusus bagi jemputan khas kerajaan Arab
Saudi sahaja.
Nasib kami
masih belum pasti. Ustaz Hussain masih berunding dengan beberapa pihak.
23 Oktober
– 7 Zulhijjah 1 petang
Kereta yang
dipandu sudah memasuki ruang letak kereta KLIA, apabila SMS baru menerjah
telefon. “Ustaz kata tidak perlu ke KLIA dahulu kerana urusan tiket masih belum
selesai.” Ya Allah, dugaan apakah lagi ini? Alang-alang sudah sampai, kami
terus ke balai perlepasan, mencari rakan-rakan yang lain dan mendaparkan
maklumat tambahan. Saya terkejut mendapat tahu, kami bukannya termasuk dalam
tiga pesawat khas yang ditempah Tabung Haji. Khabarnya, meski pun tempat duduk
dalam pesawat Saudi Airlines ada, namun ia masih tidak mendapat kebenaran untuk
membawa kami. Oh, masih masalah yang sama? Hati masih mengharap, namun diri
sudah mula mempersiapkan mental untuk menghadapi kemungkinan terburuk. Pray for
the best, but prepare for the worst! Ya Allah, bantulah kami!
22 Oktober –
6 Zulhijjah
Lewat
malam, kami mendapat panggilan telefon, menyatakan sudah ada tempat buat kami
dalam penerbangan Saudi Airlines jam 4 petang. Alhamdulillah!
21 Oktober
– 5 Zulhijjah
Semalaman
tadi saya tidak tidur, namun keletihan tidak terasa. Hati saya melonjak riang!
Aku akan terbang pagi ini, insya-Allah! Selepas Subuh, saya menghantar
anak-anak ke rumah pengasuh. Kemudian, adik saya datang menjemput kami di rumah
dan menghantar kami di KLIA.
Saya
sedikit mengah kerana berkejar ke kaunter daftar masuk Qatar Airways. Kak M
berkata kepada saya, “Sis, catch your breath first.” Kemudian dia menyambung,
“We can’t check in.” Saya melongo, terpinga-pinga. Saya diberitahu Qatar
Airways tidak dibenarkan menerbangkan kami di Jeddah. Saya hairan. Penerbangan
ini wujud atau pun tidak? Bagaimana pula ejen boleh menempah tiket penerbangan
yang tidak wujud? Kemudian, saya dijelaskan bahawa penerbangan itu memang
wujud, namun mereka cuma boleh membawa penumpang dengan visa perniagaan/kerja
tetapi bukan bagi penumpang dengan visa haji atau ziarah. Ibu mertua dan kakak
saya yang mendengar penjelasan itu semakin kehairanan. “Mengapa pula jemaah haji
yang tidak boleh dibawa masuk? Patutnya merekalah diberi priority!” Saya faham
sedikit, kerana saya ada mendengar bahawa kerajaan Saudi hanya membenarkan
Saudi Airlines sahaja untuk membawa jemaah haji masuk pada hari-hari terakhir
sebelum wukuf, sebuah dasar monopoli.
Kata ketua
kumpulan kami, pihak ejen dan ustaz sedang menelefon beberapa pihak bagi
mencuba menyelesaikan masalah kami. Saya menunggu dengan penuh harap. Namun,
waktu gate ditutup masih belum ada sebarang kata putus. Qatar Airways tetap
berkeras tidak mahu membenarkan kami masuk, kerana dikhuatiri pesawatnya tidak
akan dibenarkan mendarat dan penumpang lain pula akan terjejas. Ketua kumpulan
kami meminta kami pulang dan menunggu di rumah. Berderau darah saya mendengar
pengumuman beliau. Lemah. Tapi, saya hadapi dengan positif. Kata adik ipar
saya, ada lebih kurang 1500 orang jemaah haji Malaysia yang baru mendapat visa
dan belum ada penerbangan. Ejen-ejen sedang berkumpul dan berbincang dengan
Tabung Haji bagi menyelesaikan masalah ini. Masih ada jalan! Insya-Allah, kita
masih ada peluang!
20 Oktober
– 4 Zulhijjah
Beberapa
hari menunggu dalam debaran dan munajat kepada Yang Maha Berkuasa, kami
mendapat panggilan telefon menyatakan bahawa visa kami telah diproses dan
keluar daripada kedutaan. Alhamdulillah! Kami lantas sujud syukur dan bersolat
hajat memohon supaya Allah perkenankan hajat kami hendak menjejakkan kaki ke
tanah suci dan menunaikan haji tahun ini.
Waktu-waktu
akhir ini, cukup sukar bagi ejen kami mendapatkan penerbangan. Pada waktu
petang, kami dimaklumkan kumpulan kami akan berpecah kepada dua kumpulan, satu
kumpulan terbang dengan penerbangan pagi jam 10.20 pagi dan kumpulan kedua jam
9 malam. Kedua-duanya dengan Qatar Airways dan dijadualkan transit di Doha
sebelum menaiki pesawat lain ke Jeddah.
17 Oktober
– 1 Zulhijjah
Barang-barang
semuanya sudah dibeli dan siap dikemaskan dalam beg. Namun, kami masih belum
mendapat visa! Tarikh penerbangan dijadualkan pada 18 Oktober dengan Saudi
Airlines. Berdebar dan gementar. Ya Allah, Ya Allah, permudahkanlah.
Pada waktu
petang, kami dipanggil ke pejabat ustaz. Beliau mengumumkan bahawa ejen sudah
membatalkan penerbangan kami keesokan harinya kerana visa masih belum keluar.
Saya menangis semahunya. Apakah tiada rezeki bagi kami untuk pergi ke Makkah
tahun ini? Namun, ustaz memberikan kami harapan. Katanya, pihak kedutaan tidak
memulangkan passport kita kosong. Mereka masih memegangnya dan menyuruh kita
menunggu. Maknanya, kita masih ada peluang untuk mendapat visa.
6 Oktober 2012
Kami
menghadiri kelas persiapan yang terakhir dan bagasi besar berisi telekung dan
set ihram sudah diagihkan, namun visa kami masih di kedutaan, meskipun sudah
hampir sebulan dihantar ke sana. Bukan sedikit antara kami yang resah. Ustaz
memberikan kami kata-kata semangat. “Usah risau. Ini perkara yang biasa
berlaku. Mereka sangat sibuk di kedutaan. Ini baru ujian kecil. Bersabarlah dan
berdoalah banyak-banyak.”
17 Julai 2012
9 comments:
Terima kasih berkongsi. Saya tidak pernah tahu perkara sebegini boleh terjadi. Alhamdulillah, Allah telah kurniakan kesabaran kepada awak. INsya-Allah, khair... Allah permudahkan urusan seterusnya...
I read this backwards. Apapun kita berserah kepada Allah. Allah Maha tahu. Macam kami, tidak dijangka akhirnya dapat. Tak pernah sangka dapat pergi pada tahun sama membuat rayuan. Pergi kursus haji bersiri pada awal tahun pun masih berbelah bahagi. Hati masih belum berada di tanah suci. Taktala orang mendapat surat, kami tidak menggantung harapan. Dua tiga hari sebelum Aidilfitri, TH menghubungi memberitahu kami berjaya. Subhanallah. Bergegas ke sana ke mari mencari peralatan. Medical check up pula dapat percuma. Rezeki sebagai golongan terakhir barangkali. Taktala bertolak pergi, masih bersuara kecil, layakkah aku menjadi tetamu Allah? Rupanya Allah Maha Tahu..sebaiknya pada tahun itu, untuk menghilangkan kesedihan dan sentiasa ingat bahawa Allah itu maha penyayang.
Untuk Mynie, anggaplah ini tarbiyah. Untuk mendidik kita supaya lebih rapi persiapannya, supaya lebih bersedia. Insya Allah, ada orang bertahun-tahun pergi kursus baru dapat pergi. Yakinlah Allah tahu the best time for us.
anonymous,
kes ini sudah boleh jadi contoh "siapa yang Allah jemput, last minute pun dapat pergi, siapa yang Allah belum jemput, dah sampai airport pun tak dapat naik kapalterbang" :)
selain kumpulan kami (lebih kurang 50 orang) rasanya ada lagi dalam 100-200 orang yang ada visa takde flight.
ummu auni,
indeed, memang satu tarbiyah dan pengajaran. moga Allah ampunkan dosa-dosa saya dan permudahkan urusan kami tahun ini (1434).
tq mynie, indeed it is humbling even just by reading it, bersabar- insyaAllah able to do, but thinking how to apply bersyukur saat diuji, susahnyaa
salam akak, tahun nie mmg banyak cerita..menandakan banyak hikmah yg allah nak aturkan..masa kami baru sampai mekaah....bnyk beg2 yg tidak bertuan yg sampai...beg check in tp tuannya takda tempat dalam flight..itu satu kisah...satu lg kisah flight selepas kami 1000 org...mungkin dua...dah belepas tak dapat landed d jeddah sbb dah telalu hampir waktu wukuf..tak sempat...divert k madinah....tak dapat buat haji..tabung haji byrkan dam n jamin pergi tahun depan..bnyk lg kisah.....yg dah naik flight pun belum tentu dpt buat haji menandakan ia benar2 satu yg hanya allah bekuasa menentukannya..insyaallah moga ada rezeki buat akak n abg...sgt2 recommend kalau nak pergi dengan ustaz halim hajiumrah.com next year...bimbingannya superb start dr mula hinga akhir..rata rata jemaah bg fullmark...
Salam, masya-Allah, mungkin ramainya yg affected. Tak dpt mengerjakan haji pada tahun ini tak bermakna Allah tak sudi nak terima sebagai tetamuNya. Insya-Allah mereka yg telah diuji dan bersabar menghadapinya, bersangka baik dgn aturan Allah, berada dlm tingkatan iman yg lebih tinggi, lebih special sebenarnya. Itu tandanya awak org yg special. Insya-Allah, jika diizinkan mengerjakan haji pd tahun depan, moga2 ianya adalah satu ibadah yg mabrur yg diterima Allah.
mamaboyz,
yes indeed. bersyukur sebab 'it could've been worse' dan 'banyak lagi nikmat lain yang Allah dah beri' is not exactly the same as bersyukur atas ujian.
umm wafa,
takde pulak dgr pasal last flight yg terpaksa divert ke madinah. subhanallah. moga2 ada rezeki kami utk pergi tahun depan.
anonymous,
amiinnn...
Salam Mynie.. lama tak baca blog ni.. sibuk sikit..
Takpe Mynie, kalau next year, insya Allah kita pi sama-sama...
kak haslina,
amiiinnn... update saya ya bila ada berita :)
Post a Comment