Tuesday, March 20, 2007

Siapa mahu jadi usahawan?

Suatu hari, seorang ibu sedang memimpin anaknya keluar daripada sebuah kedai.

  • Ibu: Huh! Memang dasar peniaga penipu, tak munasabah sungguh harga barang tu dia letak.

  • Anak: Ibu, nanti bila Amin besar Amin nak berniaga lah.

  • Ibu: Eh, apasal pulak? Berniaga ni pendapatan tak tentu, Amin tau? Lebih baik Amin jadi jurutera ke, atau akauntan ke…

  • Anak: Tapi Amin nak jadi peniaga yang tak menipu, Ibu. Kalau tak, sampai bila Ibu nak beli barang-barang dari orang-orang yang sama saja?

Sang ibu terdiam. Mungkin hati kecilnya dapat menerima hujah anak kecilnya.

Sketsa pendek di atas fiksyen semata-mata, tapi saya kira tidak sukar untuk kita bayangkan perbualan seperti ini kerap timbul dalam masyarakat kita. Berniaga, atau menjadi usahawan masih belum mendapat tempat antara yang tertinggi dalam senarai pekerjaan-pekerjaan pilihan, sama ada oleh anak-anak atau untuk anak-anak.

Puan Ainon Mohd., seorang tokoh dalam dunia penulisan dan penerbitan, baru-baru ini menulis siri artikel pendek dalam laman beliau Universiti Terbuka PTS berkisarkan cara Nabi Muhammad (s.a.w) berniaga.

Siri SATU - Langkah 1: NM mula belajar berdagang sejak usia 12 tahun.

Puan Ainon mengulas mengenai kepincangan kita menguruskan modal insan.
Cara kita menguruskan sumber mental dan bakat bangsa Melayu adalah salah. Jabatan Perkhimatan Awam (JPA) memilih budak-budak ‘yang paling pandai’ (the brightest) supaya awal-awal lagi diikat dengan biasiswa, supaya mereka makan gaji dengan kerajaan.Yang rendah sedikit brightness-nya, diserahkan kepada organisasi GLC, supaya diberi biasiswa dan makan gaji dengan GLC-GLC itu. Yang lebih kecil kurang brightnessnya barulah dibiarkan pandai-pandai mencari kerja sendiri. Yang paling corot (cari kerja pun gagal) barulah diambil dan dijadikan calon usahawan, sedangkan golongan usahawan adalah mereka yang diharapkan dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan bagi budak-budak yang cuma bright selagi dia masih duduk dalam dewan-dewan peperiksaan.

Beliau juga menekankan beza antara kemahiran berniaga dan kemahiran menguruskan perniagaan.
Banyak orang tidak jelas perbezaan antara (a) kemahiran berniaga, dengan (b) kemahiran mengurus perniagaan. Kedua-dua kemahiran ini amat berbeza dan perlu diajarkan secara yang berbeza pula. Orang yang lulus cemerlang dalam pelbagai subjek bidang pengurusan perniagaan belum tentu pandai berniaga. Sebaliknya juga serupa, orang yang pandai berniaga tidak semestinya mempunyai kelulusan formal dalam bidang pengurusan perniagaan.

Siri DUA - Langkah 2: NM belajar berniaga dengan cara ‘berkuli’ yakni menjadi pembantu-cum-perantis.

Puan Ainon menekankan konsep perantisan (apprenticeship).
Sebagai contoh, pada musim cuti sekolah, serahkan anak kita kepada peniaga itu. Sebaik-baiknya, peniaga itu adalah anggota keluarga sendiri. NM berguru kepada bapa saudaranya, Abu Talib. Hanya anggota keluarga sendiri yang dengan suka hati mahu mendidik anak-anak kita belajar berniaga di lokasi bisnes mereka. Dalam bahasa hari ini disebut on-the-job-training. Orang lain (kawan baik kita sendiri pun) takkan mahu ada budak-budak ‘menyibuk’ di lokasi bisnes mereka! Ajar anak kita supaya belajar dengan cara memerhati, mendengar dan melakukan kerja-kerja sebenar orang berniaga. Aspek praktikum ini amat penting kerana ia membantu meruntuhkan benteng-benteng psikologi, seperti segan, rasa rendah diri, takut dan malu hendak berjualan.

Suruh anak kita belajar mencari modal, berunding harga semasa membeli barang yang akan dijual. Suruh dia mengira harga, menerima wang bayaran, mengembalikan baki bayaran, mendengar komplen pelanggan yang tidak puas hati, mengira modal, mengira untung, suruh dia pergi ke bank menyimpan wang hasil jualan harian. Biarkan anak kita belajar mengalami rasa sedih apabila orang tidak sudi membeli jualannya, sakit hati apabila ditipu, telinganya pedih mendengar orang mengutuk produknya, biarkan dia kecewa dan gagal apabila modalnya hangus.
Ajar anak kita melakukan analisis di mana dia tersilap, dan ajar dia berfikir bagaimana dia dapat memperbaiki kesilapannya.


Mengulas mengenai mentaliti ibu bapa yang gembira apabila anak-anak mereka mendapat biasiswa dan kemudiannya bekerja makan gaji untuk kontrak, beliau berkata:
Kita mesti ‘keluar dari kotak si miskin’, barulah kita dapat melahirkan anak-anak yang kaya raya, yang berdaya membangunkan korporat-korporat milik Melayu sejati, yang mampu mencipta peluang-peluang pekerjaan dan membayar gaji besar kepada ratusan, malah ribuan, staf dalam syarikatnya.

Siri TIGA - Langkah 3: NM memilih mentor yang baik sebagai guru dan tempat belajar berniaga.

Pilihan mentor didasarkan kepada bidang,
Selepas anak kita mempunyai ijazah, galakkan anak kita bekerja dalam syarikat yang bergiat dalam bidang yang diminati oleh anak kita.

Etika dan integriti,
NM datang daripada keluarga pedagang yang ternama di bandar Mekah. Tiga (3) orang ayah saudaranya adalah pedagang jutawan, yakni Abu Jahal, Abu lahab dan Abu Talib. NM memilih Abu Talib, seorang pedagang yang berjaya, kaya raya dan terkenal sebagai seorang yang jujur dengan kata-kata dan tingkah lakunya.
Jangan hantar anak kita bekerja dengan syarikat tokoh usahawan yang kaya raya tetapi beliau mengamalkan rasuah, menjadi kroni dan muka depan Cina, bergantung kepada orang politik, alibaba, dan lain-lain perbuatan yang salah dalam urusan bisnesnya.


Serta saiz perniagaan.
NM belajar berniaga daripada ‘individu’. Ini amat penting, sebab individu itu yang akan mengajar anak kita ilmu berniaga. Ini bermakna, galakan anak kita bekerja dengan syarikat kecil, bukan korporat besar.
Dalam syarikat kecil anak kita berpeluang mengenali mentornya dengan rapat. Dalam korporat besar, anak kita hanyalah sebiji skru kecil dalam mesin raksasa. Dia tidak belajar menjadi usahawan, sebab budaya kerja korporat bukan budaya entrepreneurship, yakni bukan budaya kerja keusahawanan.


Siri EMPAT - Langkah 4: NM menjadi perantis selama 10-12 tahun kepada satu (1) orang mentor sahaja.

Penghujungnya,
Ajar anak kita supaya jangan suka bertukar-tukar majikan, apatah lagi bertukar-tukar bidang bisnes semasa sedang belajar bisnes.

Saya tidak pasti sama ada Puan Ainon akan menyambung penulisan beliau ini (siri EMPAT ditulis pada 19 Mac 2007), mungkin ada lagi langkah-langkah berikutnya. Silalah melawat laman beliau jika berminat.

Komentar beliau yang tidak bersetuju dengan prinsip “paling pandai diikat dengan biasiswa, paling corot dilatih jadi usahawan” tidak harus diinterpretasi bahawa yang sebaliknya perlu dilakukan. Sebagaimana prinsip “paling pandai di’paksa’ ambil aliran sains” tidak disenangi, begitu juga prinsip “paling pandai haruslah jadi usahawan”. Pokoknya di sini, pada pendapat saya, kerjaya sebagai usahawan ini haruslah diketengahkan lebih awal lagi di waktu sekolah supaya boleh dijadikan salah satu daripada pelbagai pilihan. Sepertimana bidang lain, minat amat penting. Walau pun pandai tapi tak minat, tak semestinya boleh berjaya. Dan sebaliknya, jika ada minat, usaha akan mengiringi ke arah kejayaan, InsyaAllah. Lagi pun, pada pendapat saya berniaga memerlukan lebih banyak streetsmart berbanding booksmart.

Saya belum pernah menceburkan diri dalam arena keusahawan, tetapi menjangka saya lebih berupaya mengurus perniagaan berbanding berniaga! (satu kekurangan?) Wallahu a’lam. Post ini saya tujukan buat rakan-rakan usahawan di luar sana, semoga maju jaya! InsyaAllah.

0 comments:

  © Blogger template 'Minimalist G' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP