Nostalgia Ramadhan di Perantauan
Meskipun telah agak lama kembali ke tanahair, sesekali saya suka mengenangkan kembali kisah-kisah lama waktu belajar di UK. Dan kali ini, bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, rasa teringin pula nak berkongsi cerita berRamadhan di sana (harap kalian tidak kisah!).
Waktu saya di sana, Ramadhan jatuh pada musim sejuk. Jadi siangnya pendek, sahur selewat 6.30 pagi dan berbuka seawal 3.30 petang! Tambah pula, tak terasa begitu dahaga berbanding di Malaysia sebab cuaca pun sejuk. Bagaimanalah agaknya berpuasa di musim panas, bila waktu Subuhnya jam 3 pagi dan Maghribnya 10 malam? Pasti mencabar! Di musim sejuk, waktu berbuka yang awal kebiasaannya tiba waktu masih dalam bilik kuliah atau dalam lab. Cukup sekadar berbekalkan air masak, buah tamar, dan kadangkala sekeping coklat. Kalau tiada kelas sekali pun, memang kami biasa cuma berbuka ringan dahulu, dan kemudian barulah mula memasak.
Budaya iftar jauh lebih meriah berbanding di Malaysia. Bukan meriah dari segi makanannya, tapi dari aspek sosialnya (ukhuwwah). Ganjaran menjamu orang berbuka tidak dilupa di samping ibadah-ibadah lain. Komuniti tempatan (termasuk kedai dan restoran milik Muslim) memang memberi sumbangan untuk Masjid Abu Bakar (rumah teres dua tingkat yang diubahsuai) menyediakan juadah berbuka setiap hari. Sekali-sekala saya pergi berbuka di masjid; nasi beriyani bertambah lazat bila berbuka bertemankan kenalan-kenalan baru dan lama. Di samping bergilir di kalangan komuniti pelajar Melayu Malaysia (yang tidak begitu ramai di situ), University Islamic Society juga menganjurkan majlis iftar, dan saya juga berpeluang dijemput ke rumah beberapa sahabat local Muslims. Memang seronok! Bila sesekali berbuka sendirian, terasalah sunyinya.
Highlight pastilah solat tarawih di malam harinya. Solat tarawih di sana santai dan relaks sekali; biasanya mengambil masa dalam dua ke tiga jam. Ada dua pilihan, sama ada bersolat di Masjid Abu Bakar bersama komuniti Muslim tempatan, atau di sebuah bilik luas yang disediakan oleh University Islamic Society bersama komuniti pelajar universiti. Kebiasaanya saya memilih yang kemudian, kerana tempatnya yang lebih dekat dengan bilik asrama saya, hanya beberapa minit berjalan kaki, tidak perlu mengayuh basikal. Tarawihnya 20 rakaat, satu juzu’ setiap malam, dengan rehat seketika selepas 10 rakaat, lengkap dengan sedikit biskut dan minuman. Alas kami cadar putih yang bersih, dan tiada tirai pemisah antara saf lelaki dan perempuan, cuma sekadar jarak yang sedikit jauh. Imamnya bergilir-gilir, terdiri daripada kalangan pelajar-pelajar sendiri – teringat bacaan Hisham dari Palestin yang sungguh merdu, Zilani kelahiran bumi England berdarah Pakistan dan seorang hafiz, dan wakil pelajar Malaysia juga ada Alhamdulillah, dan lain-lain lagi. Waktu mula-mula dulu, saya sangkakan semua imam hafiz, tapi kemudian barulah saya tahu sebahagian daripada mereka memegang mushaf sewaktu bersolat. Oh, boleh rupanya! (begitu dangkalnya kefahaman saya). Selepas itu, saya juga turut memegang mushaf (terjemahan) sekali-sekala untuk membaca terjemahan sambil mendengar bacaan imam. Sesekali, saya berkunjung juga ke Masjid Abu Bakar, untuk menikmati alunan merdu bacaan Syeikh Abdur Razak yang didatangkan dari Tanah Suci.
Di bumi yang dihuni ramai penghijrah ini, perbezaan antara mazhab biasa menjadi isu. Namun, saya melihat masyarakat tempatan semakin mula menghormati prinsip khilaf dan belajar untuk bertolak ansur. Sebagai contoh, solat witir. Ada yang mahu mengerjakan tiga rakaat dengan satu salam, dan ada pula dua salam. Penyelesaiannya, imam akan tahiyat lama sedikit untuk sesiapa yang ingin menyempurnakan salam dahulu sebelum bangkit kembali dan turut bersama imam dalam rakaat ketiga. Imam juga akan berdiri lebih lama sewaktu i’tidal dalam rakaat ketiga untuk memberi para makmum pilihan sama ada untuk membaca doa qunut atau pun tidak (dalam separuh Ramadhan kedua).
Itulah sebahagian kisah lima Ramadhan yang lalu. Sometimes, the memory seems so vivid, I can almost imagine the night walks to the Quiet Room, the cold breeze on my cheeks. Alhamdulillah, thank you Allah for the experience and memory…
6 comments:
macam pergi buat umrah, budaya toleransi pelbagai mazhab ni...huhu...
asm mynie!
teringat dulu2 berbuka dgn air "water cooler" luar kelas sebab biasa terlupa bawa bekal. hehe.
aini, perbezaan pendapat itu rahmat, kesatuan akidah itu indah :)
mektwain, terlupa bawa bekal takpe, jgn terlupa tgh pose dahla heheh... glad to hv you in the blogging world! :)
yup agree with you and aini..
kita ni dangkal sgt bila duduk di malaysia, selalu fikir itu tak boleh, ini tak boleh sebab ustaz/ustazah cakap beigut begini
tapi kita tak pernah ambil inisiatif, buka kitab.. tengok sanad hadis etc etc untuk menambahkan pemahaman..
hmmmm
aida, agree.. kdg2 kita ni ada 'ritual'istic-mindset.. something i'd like to lari from.. thanks for your opinion abt the vaccination, too. permisi letak link ya..
mynie.. kita pun permisi nak letak link... hiks :)
Post a Comment