Majlis meraikan bakal haji
Satu. Semalam AJK Surau bangunan tempat saya bekerja menganjurkan majlis meraikan bakal haji waktu lunchtime. Agenda bermula dengan sedikit tazkirah dan bacaan doa selamat oleh ustaz yang dijemput, diikuti dengan perkongsian pengalaman oleh beberapa kakitangan yang sudah berkesempatan menjadi tetamu Allah, seterusnya solat Zuhur dan makan tengah hari. Salah seorang daripada haji yang telah berkongsi pengalamannya, R adalah seorang pengurus besar salah satu bahagian syarikat, kiranya top ten juga lah di bangunan ini. ‘Keakrabannya dengan surau’ memang menyejukkan hati saya. Di syarikat ini, tidak ramai yang ‘akrab dengan surau’, apatah lagi di kalangan yang berjawatan tinggi. Bukankah seronok, kalau bos sendiri yang menjadi imam kita waktu bersolat di surau? Dulu saya pernah menulis sedikit tentang peranan yang boleh (atau perlu) dimainkan oleh golongan seperti R ini. Semoga lebih ramai R akan muncul di sini!
Dua. Perkongsian pengalaman oleh seorang lagi haji, F agak menarik. Beliau menekankan dua poin. Yang pertamanya, betapa perlaksanaan ibadah haji itu analogi kepada hidup itu sendiri, termasuklah bab menanti dan menunggu. Jika waktu menunaikan haji, kita menunggu di lapangan terbang dan giliran mengambil wudhu’, dalam hidup pula kita menanti dari satu peringkat ke peringkat lain – selepas keluar universiti, kita menunggu untuk bekerja, kemudian berkahwin dan mendapat anak dan sebagainya. Yang pentingnya, apakah kita sudah membuat persediaan untuk mengisi dan memanfaatkan waktu-waktu ‘menunggu’ ini? Poin kedua F pula berkenaan betapa perlunya kita menyedari kekerdilan dan kehambaan diri kita di sisi Allah, dan betapa pentingnya pengabdian dan penyerahan diri kita kepadaNya. Kita mungkin boleh merancang dan berusaha, tetapi Allahlah sebaik-baik ‘perancang’ dan penentu. F menceritakan kisah rakannya seorang jurutera yang berhajat ingin mengucup Hajarul Aswad. Dia berteori bahawa hajatnya boleh dicapai jika dia bertawaf mengikut bentuk lingkaran ubat nyamuk, dengan mengecilkan radius pusingan pada setiap pusingan berikutnya. Beberapa kali dicubanya teknik ini, tetapi dia cuma menjadi semakin jauh, radiusnya menjadi semakin besar. Akhirnya dia terduduk dan menangis, menyedari kekerdilan kudrat dan akalnya. Dia lantas bersolat sunat taubat dan berdoa kepada Allah. Sejurus selepas selesai solatnya, bagaikan wujud satu lorong yang memungkinkan dia terus melangkah ke Hajarul Aswad, meskipun waktu itu orang maish ramai dan bersesak-sesak seperti biasa. Subhanallah..
Mendengar kisah R dan F dan juga dari rakan-rakan lain semakin menyemarakkan rindu untuk menjadi tetamu Allah, untuk menunaikan haji di Mekah. Semoga waktu penantian saya (kami) tidak lama…
Tiga. Tazkirah sudah, sesi berkongsi pengalaman pun sudah, solat pun sudah, tibalah waktu menjamu selera dengan nasi beriyani bungkus. Dan tiba-tiba muncul lah ‘tetamu-tetamu’ lain untuk turut serta. Selaku salah seorang AJK yang terlibat mengira-ngirakan sama ada tabungan surau cukup atau tidak untuk bajet membeli nasi bungkus, hati saya berasa agak panas juga. Kalau ya pun nak ‘makan percuma’, datanglah awal sedikit untuk dengar tazkirah sekali! Tapi sejurus kemudian, saya tersentak – Astaghfirullahal’azim, mengapa begitu sempit jiwa saya sehingga bersangka buruk sedemikian? Walhal rezeki masing-masing semuanya daripada Allah. Malunya pada diri sendiri... semoga di lain kali saya tidak ‘melatah’ sebegitu lagi!
Kepada yang bakal menunaikan haji tahun ini, selamat berangkat dan semoga mendapat haji yang mabrur!
SELINGAN: Last night, my sleep was interspersed with several short dreams. I last wrote about dreams here.I dreamt that I was in a ‘tough and possibly dangerous’ situation, though I can’t remember exactly what it was. What I remember is – it was my son Munief, whom I was holding in my arms, who comforted me – patting me on the back and said “It’s okay, Ummi, it’s okay.” It was just a dream – but it felt nice and good; all this while it was me who said that to him. (He cannot say those words yet, by the way).
2 comments:
mynie dah mendaftar untuk pegi haji? kak ana belum lagi. tapi dah berniat lama dah dok cakap ngan hubby. rasanya kalau daftar sekarang ni dalam 2017 kot dia punya slot.
kak ana, errk - 2017? lamanya... belum daftar, ingat nak daftar sekali ngan parents saya, kalau boleh nak gi sama2.
Post a Comment