"Anak saya warganegara Malaysia."
Saya terjumpa dengan kakak itu di bilik air, dia salah seorang pekerja syarikat mencuci yang diberi kontrak mencuci bangunan pejabat. Saya tidak tahu namanya, tapi sudah biasa bertegur sapa sejak dahulu.
“Eh, kakak sudah bersalin? Anak sihat? Sudah berapa bulan?”
Dia tersenyum dan menjawab, “Anak sihat, sudah dua bulan.” Telor bahasa Indonesianya masih pekat.
“Tapi anak lelaki juga. Doktor bilang hari itu, anak perempuan. Kakak sudah beli baju perempuan, terpaksa diberi pada orang lain. Marah suami saya,” sambungnya lagi.
Dia semakin galak bercerita. “Saya hantar rumah orang. 350 ringgit upahnya. Mahal, kan?”
Saya menjawab, “Begitulah upah di sini agaknya. KL, mahal. Jika di tempat saya, kurang lagi.”
“Tapi dia cuma jaga dua orang budak. Kalau ramai, risau juga, takut tak terjaga anak kita.”
“Gaji kakak berapa?” Saya tahu soalan ini agak sensitif, tapi saya tanyakan juga kerana timbul rasa ingin tahu.
“Gaji pokok tujuh ratus. Tambah overtime, dapatlah lapan ratus lebih ... “ Dia tahu mengapa saya bertanyakan soalan itu.
“Jadi, separuh gaji untuk upahkan orang jaga bayi sahaja?”
“Ya. Kalau tak kerja, susah juga. Saya mahu tolong suami saya. Sekarang belanja semua mahal. Itu pun nasib baik kerja suami saya masih ok. Dia bukan makan gaji. Dia ada buat kerja dengan lima orang tauke. Dulu saya tak faham. Sekarang saya faham. Tauke Cina beritahu suami saya, ‘Saya dapat kontrak sepuluh ribu, awak buat kerja, nanti untungnya kita bahagi dua.’ “
Dia bercerita lagi, “Sewa rumah pun mahal. 350 satu bilik saja. Kalau yang dua bilik sudah 700. Anak saya yang sulung bekerja cuci kereta, bukannya ada bantu beri duit belanja, minta daripada saya lagi ada kalau dia tak cukup. Saya kata padanya, ‘Sudahlah, susu adik kau mahal. 50 ringgit satu tin.’ “
“Oh, tak menyusu badan?”
“Macam mana nak susu badan, kakak pergi kerja. Suami tak bagi. Nanti susu rosak. Susah. Kalau balik malam, takut kena sampuk.” Saya tidak faham berkenaan ‘kena sampuk’ itu tetapi tidak bertanya lebih lanjut.
“Saya ada perah susu di pejabat. Alhamdulillah ok.” Saya kongsi pula kisah saya.
“Baby ok? Dia minum?” tanyanya.
“Ok saja, tiada masalah. Lepas perah, simpan dalam peti sejuk. Bila nak minum, panaskan.”
“Oh, begitu. Jadi baby minum susu badan saja?”
Riak wajah saya bertukar sedikit sedih. “Tak. Sudah campur.”
“Beli susu apa?” Dia pula teruja.
“Anmum.”
“Kakak beli Nestle N9 ke apa nama dia. Bijaklah nanti anak adik.”
Saya keliru. “Sebab minum susu badan?”
“Sebab susu yang beli tu kan macam-macam khasiat ada dalam dia.”
“Eh, bukan!” Saya cuba membetulkan persepsinya. “Susu badan paling bagus. Anak bijak bila minum susu badan, bukan susu tin.”
Kakak itu terdiam sebentar, barangkali memikirkan kata-kata saya. Kemudian dia mengubah topik. Dia bercerita tentang anaknya yang lain pula. “Anak saya yang di tingkatan satu itu minta saya sediakan bekal. Katanya, lebih murah berbanding kalau beli di kantin.”
“Dia sekolah di mana?” saya bertanya.
“Di Bandar Utama Satu. Katanya ada kawan-kawannya mengejeknya, ‘Eh, budak Indonesia. Tak malukah, bawa bekal?’ “
Sambungnya lagi, “Saya kata padanya, ‘Beritahu kawan-kawan, saya ada IC Malaysia lah.’ “
Saya meminta kepastian, “Anak-anak kakak ada IC biru?”
“Ya! Kesemua empat anak saya warganegara Malaysia. Mereka semua lahir di sini.”
“Kakak sendiri?”
“Tidak. Saya IC merah.” Dan dia menunjukkan pada saya kad pengenalannya yang tertulis ‘MyPR’. Oh, Rusminah nama kakak ini.
Saya senyum, mengucapkan terima kasih, dan minta diri untuk berlalu.
2 comments:
thanks for sharing such a touching story...
i cried reading this.. especially the part when you wrote anak dia kena ejek bawa bekal pergi sekolah
:(
cabaran mencari rezeki di perantauan..
Post a Comment