Tuesday, April 15, 2008

Adik-adik AnNajjah

Bersempena bulan bonus tahun ini, geng Surau S*ell telah mengutip derma bagi dua tujuan, yang pertamanya untuk Pusat Jagaan Anak Yatim & Saudara Baru AnNajjah (AnNajjah) dan yang keduanya untuk projek pembikinan al-Qur’an Braille. Hasrat kami untuk membantu adik-adik AnNajjah lebih berbentuk hubungan jangka panjang bukan sekadar once-off donation, maka Ahad lepas kami berkunjung ke sana untuk bertaarruf sambil menyampaikan hasil kutipan derma dan hadiah.


Sambutan yang diberikan membuatkan kami rasa terharu. Paluan kompang mengiringi kami tiba dan pulang, dan kami dihiburkan dengan beberapa buah nyanyian nasyid. Ucapan dan penyampaian hadiah singkat sahaja, selebihnya kami makan tengahari sambil beramah mesra. Akhir sekali, kami solat Zuhur dan solat hajat berjemaah sebelum bersurai.

Sewaktu menyampaikan hadiah buat setiap adik-adik AnNajjah, Pengerusi kami bertanyakan cita-cita masing-masing. Rasanya cukup lengkap setiap profesyen, walaupun profesyen beruniform nampaknya begitu popular (polis, tentera, bomba). Tapi yang paling menarik hati saya ialah adik Sazri, yang ingin menjadi seorang ustaz! Alhamdulillah. Yang istimewanya adik Sazri ini, dia berbakat mencipta hasil seni batik. Lihat saja gambar di bawah ini. Kalau ingin dijadikan sumber pendapatan, bila-bila masa saja boleh. Kalau saya sudah punya rumah sendiri, saya pun inginkan satu. Semoga adik Sazri mencapai cita-citanya untuk menjadi ustaz – malahan seorang ustaz-artis, why not?

Waktu berbual kemudiannya dia ditanya, “Ibu bapa adik bagaimana, mereka dah memeluk Islam?” “Ibu dah, ayah belum,” jawabnya ringkas. Semoga Allah mengurniakan hidayah kepada ayah adik Sazri juga. Saya teringat ucapan Puan Salmah, Setiausaha Rumah AnNajjah awal tadi – mereka sengaja memilih adik-adik lelaki untuk dididik supaya dapat menjadi ketua keluarga yang berjaya yang dapat mendidik keluarga pula.

Dalam ramai-ramai adik AnNajjah, hati saya terpaut pada adik Azman. Selesai bernasyid dia terus menghampiri saya dan meminta mahu mendukung Afiefah. Dia nampak gembira sekali mendukung dan mengagah Afiefah (lihat gambar di bawah). Munief pun dimesrai dan diajaknya berbual.
“Adik suka baby, ye?” saya bertanya.
“Ha’ah.”
“Ada adik di kampung?”
“Ada. Tiga orang. Tapi jumpa sekali setahun je bila balik kampung.”
Gayanya memang gaya seorang abang mithali. Saya pasti dia meng’abang’kan dirinya dengan baik terhadap adik-adik AnNajjah yang lebih muda daripadanya meskipun tiada pertalian darah.


Pulang kami disertai semangat untuk meneruskan lagi hubungan ini. Saya mengharapkan kami dapat menjayakan projek rak buku beserta bahan-bahan bacaan dalam bulan Jun/Julai nanti. Beberapa orang daripada kami (tidak termasuk saya!) berniat untuk menawar diri memberi tusyen percuma. InsyaAllah, adik-adik AnNajjah akan dijemput untuk acara tahunan berbuka puasa bersama anak yatim kami bulan September nanti. Juga ada cadangan untuk menggunakan lakaran batik adik Sazri untuk menghiasi taqwim 2009, yang mana keuntungannya pastilah untuk AnNajjah. Masih sekadar cadangan belaka, tapi harapnya most of not all dapat dijalankan.

Sedikit info berkenaan AnNajjah – usianya masih muda, baru menjangkau dua tahun. Ditubuhkan oleh sekumpulan ahli komuniti yang prihatin untuk menyediakan sebuah tempat berteduh buat anak-anak yatim dan saudara baru. Letaknya di Jalan Kent 2 berhampiran Dewan Perdana Felda Jalan Maktab, somewhere here.

Buat masa ini, AnNajjah menempatkan 17 budak lelaki, 7 lagi dalam proses pendaftaran dengan Jabatan Kebajikan (kapasiti AnNajjah 24 orang). Buat yang ingin membantu, bolehlah hubungi Puan Aminah (Pengerusi) di 012-2056167 atau Puan Salmah (Setiausaha) di 013-3530898 atau salnordin1405 at gmail dot com. Akaun Maybank: Pusat Jagaan Anak Yatim An-Najjah (564212-10-4074) atau Pusat Jagaan Saudara Baru An-Najjah (564212-10-4081). Saya ada menyatakan hajat untuk membangunkan laman blogspot ringkas untuk mereka berdasarkan profail, info dan sedikit gambar yang ada pada saya, harapnya boleh siap dalam seminggu dua ini, InsyaAllah. Nanti bila siap, saya akan hebahkan.


Mereka membela ikan keli dalam tangki-tangki ini buat makan sendiri.

Lagi satu, saya ingin menghebahkan servis katering Kak Mimi sebagai tanda terima kasih mendapat diskaun daripadanya apabila dia mendapat tahu program ini untuk anak yatim dan saudara baru. Makanan sedap, menu bervariasi (tradisional & western), harga pun berpatutan. Menu kami Ahad lalu: nasi minyak (set dengan ayam, dalca, dan acar), lasagna, drummet, bubur kacang, popiah, blueberry cheesecake, air laici & teh tarik at RM15/pax. Her contact: 016-2280490.

2 comments:

Ummu Auni

uish...lama tak masuk sini.
batik painting tu dia jual tak?
should note this sebab cantik sgt
ingat boleh beli utk rumah

SMM

ummu auni,
i'll ask them whether nak jual ke tak and will let you know nnt.

  © Blogger template 'Minimalist G' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP